BAM & Misbun Sidek Sah ‘Bercerai’

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kemelut yang tercetus antara legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek dengan BAM akhirnya selesai hari ini selepas satu persefahaman dicapai antara kedua-dua pihak.

“BAM mengesahkan bahawa Datuk Haji Misbun Haji Sidek sudah meninggalkan BAM selepas mencapai penyelesaian baik dengan institusi ini.

“BAM melihat kes ini sudah ditutup dan boleh memberi fokus kepada persediaan Kejohanan Remaja Dunia 2023,” kata badan induk badminton negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kemelut tercetus apabila BAM memutuskan untuk melepaskan Misbun sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja susulan kegagalan skuad remaja negara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogjakarta, Indonesia.

Susulan itu, legenda perseorangan badminton negara itu menyuarakan kekecewaannya atas apa yang berlaku menerusi satu sidang media pada awal Ogos lalu.

Bagi menjernihkan keadaan, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria mengadakan satu sidang media khas. Dalam sidang media tersebut, beliau memohon maaf dan bersedia menawarkan kembali tugas lama Misbun dalam badan induk itu dengan kontrak sehingga penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak dengan baik oleh beliau. Sebaliknya, satu persetujuan telah dicapai antara kedua-dua pihak bagi memastikan kemelut ini sudah berakhir.