Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas Paulus Firman meletak jawatan sebagai jurulatih beregu campuran negara, BAM mengambil masa lama bagi menentukan calon terbaik menggalas jawatan tersebut. Dan hari ini, BAM telah menamakan Nova Widianto sebagai pengganti Paulus. Bekas juara dunia dua kali itu dijangka mula bertugas pada 1 Januari tahun hadapan.
BAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jurulatih dari Indonesia berusia 45 tahun telah menandatangani kontrak selama dua tahun selaku pengendali beregu campuran. Sebelum bergelar jurulatih regu campuran negara, Nova merupakan jurulatih skuad regu campuran Indonesia tetapi telah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pada 15 Disember lalu.
Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky melihat kehadiran rakan senegaranya itu dapat memberi impak besar kepada skuad regu campuran kebangsaan. “Pemain beregu campuran negara teruja dengan prospek memiliki jurulatih berkaliber untuk membimbing mereka.
“Pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki Nova sangat bermakna kepada pemain dalam skuad kebangsaan. khususnya apabila kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris yang akan bermula tahun depan,” katanya.
Nova hadir dengan reputasi sebagai pemain regu campuran yang hebat pada zamannya. Selain bergelar juara dunia pada 2005 dan 2007, gandingannya bersama Lilyana Natsir turut menggondol pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China. Beliau kemudiannya bersara pada 2013 dan mula menceburi bidang kejurulatihan sebagai jurulatih sebelum bergelar penolong jurulatih.
Sebelum kehadiran Nova, tugas jurulatih regu campuran negara digalas oleh penolong jurulatih Teo Kok Siang selepas Paulus meletak jawatan pada April lepas. Kehadiran jurulatih ini diharap dapat melonjakkan lagi prestasi beregu campuran terutama menjelang kelayakan Sukan Olimpik pada Mei tahun hadapan.