Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dengan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) bakal bermula tidak lagi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut berharap skuad negara mampu mencapai dua matlamat utama yang ditetapkan di BAMTC.
Dengan bergelar juara Kumpulan B, ia bukan saja memudahkan laluan skuad badminton negara ke suku akhir. Malah, ia membantu mereka menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik sekaligus mara secara automatik ke Piala Sudirman di Suzhou, China pada Mei ini.
Justeru, bagi mencapai matlamat tersebut, Pengarah Prestasi Tinggi Akademi Badminton Malaysia (ABM), Dr Tim Jones mendedahkan satu latihan pusat bakal diadakan pada minggu hadapan untuk semua pemain yang terlibat.
“Untuk pasukan campuran (BAMTC) kami sasar untuk mara ke separuh akhir kerana kami nak layak secara merit (Piala Sudirman). Kami tidak mahu tunggu saat akhir kena kira mata ranking untuk layak.
“Jadi untuk mendapatkan undian mudah di suku akhir nanti kami perlu memenangi peringkat kumpulan. Jadi kami perlu lakukan banyak analisis berkenaan lawan kami terutamanya India kerana mereka pasukan yang kuat.
Bagaimanapun kami yakin mampu untuk menjadi juara kumpulan keran mempunyai rekod yang baik menentang mereka (India) sebelum ini.
“Sebagai persiapan kami akan kumpul pemain-pemain yang terlibat pada minggu depan untuk latihan pusat. Ini kerana kami nak mereka bersama sebagai satu pasukan bagi menghadapi kejohanan ini,” katanya semasa ditemui media di ABM hari ini.
Untuk kejohanan BAMTC, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ini selepas undian kumpulan BAMTC dibuat secara maya semalam.
Tetapi untuk mara ke suku akhir bukanlah satu usaha mudah. Ini kerana sejak BAMTC dianjurkan buat kali pertama pada 2017, skuad negara tidak pernah sampai ke kelompok empat terbaik dengan pencapaian terbaik mereka ialah peringkat suku akhir.
Selain itu, dua perseorangan lelaki untuk skuad badminton negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao turut bergelut dengan prestasi tidak menentu. Tetapi bagi Jones, beliau percaya mereka boleh bangkit dan merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
“Saya rasa sedikit malang buat Jun Hao selepas keputusan yang diraihnya semalam. Bagaimanapun saya fikir keputusan yang buruk diraihnya mampu untuk melonjakkan semangatnya sama seperti kita lihat yang berlaku kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah.
“Sama seperti Zii Jia juga, walaupun aksinya tidak konsisten pada tahun ini, namun kami yakin dia akan kembali pada tahap terbaik untuk bantu pasukan negara di kejohanan itu,”