BAM Kini Miliki 3 Gandingan Baharu

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Susulan keputusan pengarah kejurulatihan beregu BAM, Rexy Mainaky untuk memisahkan Nur Izzuddin Rumsani – Goh Sze Fei, ia membawa kepada pembentukan tiga regu lelaki baru.

Tetapi tiada siapa menyangka tempias keputusan ini mengenai regu lelaki nombor ke-46 dunia, Muhammad Haikal Nazri-Wan Muhammad Arif Wan Junaidi. Digelar ‘Patatimo Boys’ disebabkan kedua-duanya berasal dari Kelantan dan Terengganu, kedua-duanya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Izzuddin bakal membentuk gandingan baru bersama Haikal dengan Arif bersama Yap Roy King. Sementara Sze Fei pula digandingkan dengan Choong Hon Jian.

“Perasaan saya memang sedih dan kecewa selepas dengar pengumuman tersebut Jumaat lalu kerana perkara ini berlaku secara tiba-tiba. Memang agak sedih dan saya hanya berdiam diri, cuma beritahu kepada keluarga.

“Ketika itu, saya terkilan kerana terfikir-fikir siapakah pasangan baharu nanti. Selepas mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Rexy, ia sedikit sebanyak dapat meredakan rasa kecewa,” kata Arif kepada media selepas pengumuman tiga regu baru itu dibuat.

Gandingan Patatimo telah menjulang tiga kejuaraan iaitu Siri Antarabangsa Terbuka Austria 2021, Siri Antarabangsa Hellas 2021 dan Siri Antarabangsa Ukraine 2021. Malah Arif-Haikal hampir menjulang Orlean Masters pada tahun lepas tetapi terpaksa menarik diri di final selepas Haikal positif Covid-19.

Rexy sedar keputusannya untuk memisahkan Arif-Haikal bakal mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Tetapi beliau menegaskan tiga regu baru ini akan diberi peluang sama rata bagi membuktikan regu mana yang terbaik.

“Kami bukan bercakap soal adil atau tidak. Tidak bermakna gandingan baru Nur Izzuddin dan Haikal boleh menjadikan mereka lebih baik.

“Begitu juga Arif-Roy King atau pun Sze Fei-Choong Hon Jian. Kami akan berikan ketiga-tiganya kesempatan untuk membuktikan siapa yang terbaik,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.