Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Tidak sampai beberapa hari tahun 2023, BAM kehilangan lagi jurulatih dan pemain. Jurulatih beregu campuran Teo Kok Siang dan pemain beregu campuran Yap Cheng Wen mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada BAM.
Keputusan Kok Siang bukanlah sesuatu yang mengejutkan lebih-lebih lagi selepas BAM membawa masuk Nova Widianto sebagai jurulatih baru beregu campuran.
Dalam satu kenyataan di laman media sosialnya, Kok Siang berkata, “Hari ini merupakan hari terakhir saya di BAM. Ia merupakan satu penghormatan dan satu perjalanan yang hebat bersama pasukan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr Norza Zakaria, semua staf BAM, para jurulatih, para pemain, rakan-rakan dan staf Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan dan bimbingan yang diberi.
“Pengalaman berharga yang diraih di sini akan mendapat tempat istimewa dalam hati saya, membantu saya dalam perjalanan yang seterusnya.”
Bagi Cheng Wen pula, dia berbuat demikian selepas kerap mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada dia bakal bermain sebagai pemain profesional atau bersara dari dunia badminton.
Isu kecederaan Cheng Wen ini kembali menghantuinya semasa Cabaran Antarabangsa Malaysia yang berlangsung pada bulan lepas. Dan menurut pengarah kejurulatihan beregu BAM, Rexy Mainaky, ia turut mempengaruhi keputusan pemain beregu itu untuk menarik diri.
“Dia (Cheng Wen) menjalani imbasan MRI dan imbasan mendapati wujud koyakan pada otot bahu kiri. Dia mengalami kecederaan tersebut untuk satu tempoh yang lama. Dia sudah mengalaminya apabila dia bertukar dari regu wanita kepada regu campuran.
“Dia ada memberitahu saya sebelum ini, dia akan terus bermain jika dia dapat mengatasi kecederaan tersebut. Keputusan imbasan MRI terkini merupakan tamparan terakhir, dia tidak mahu kecederaannya itu memberi kesan kepada kesihatannya di kemudian hari, jadi, dia ambil keputusan untuk menarik diri.
“Amat sukar bagi dia untuk kembali beraksi cemerlang dan dengan usianya semakin bertambah, dia mahu melihat pilihan-pilihan lain,” katanya.
Cheng Wen merupakan rakan gandingan Vivian Hoo untuk beregu wanita dari 2018 hingga 2019. Gandingan ini memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2019 dan pernah menduduki ranking ke-17 dunia.
Bagaimanapun, Vivian kemudiannya digugurkan setahun lepas dan Cheng Wen digandingkan dengan Anna Cheong dan Lee Meng Yean. Bagaimanapun, kombinasinya dengan dua pemain berkenaan tidak berhasil.
Selepas berpindah ke regu campuran, Cheng Wen digandingkan pula dengan Choong Hon Jian dan Loo Bing Kun. Tetapi kombinasi dua regu campuran ini juga tidak membuahkan hasil.
Yang pasti, ini akan menjadikan tugas Nova untuk menggilap regu campuran negara bertambah sukar. Tetapi ia satu cabaran yang sedia diterimanya lebih-lebih lagi kebanyakan regu campuran yang masih ada di BAM ialah regu-regu muda.