BAM Gesa Jawatan Si Racist Dilucutkan Di China

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial tindakan seorang jurulatih badminton yang mengeluarkan komen-komen berunsur perkauman tatkala mengkritik pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Susulan itu, BAM kini menggesa Persatuan Badminton China (CBA) memastikan jurulatih berkenaan tidak lagi diterima bekerja oleh kelab-kelab badminton di sana.

Dalam video yang dikongsikan oleh akaun Twitter @AhBoyBadminton beberapa hari lepas, Bong Guang Yik menganggap pengurusan BAM tidak cekap kerana ia dikuasai oleh orang Melayu.

“Semasa Terbuka Malaysia, tiada satu pun wakil Malaysia mara ke final. Adakah itu disebabkan pemain atau BAM? Masalah di sini ialah BAM.

“Saya fikir itu puncanya kerana Melayu yang uruskan BAM. Jangan bagi (BAM) kepada orang Melayu. Serahkan saja kepada orang Cina dan anda akan lihat penambahbaikan.

“Dalam kepala saya, orang Melayu ini malas, hanya tau makan sebab sembahyang lima kali sehari. Kalau itu berlaku, mereka ada niat ke nak kendalikan BAM dengan baik?” kata Guang Yik dalam video yang tular itu.

Sejak itu, ia mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. Beliau percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan serta tidak pernah menjadi satu isu kepada atlet negara.

“Saya sudah semak dengan @MSNMALAYSIA @BA_Malaysia, beliau bukan lagi atlet negara dan adalah bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 (9 tahun yang lalu) dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau (Guang Yik) dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau sudah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.

“Saya ulangi pendirian – sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik. Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

BAM dalam satu kenyataan lain mengecam keras komen Guang Yik yang dianggap melampaui batas. Susulan itu, BAM bakal memfailkan aduan kepada CBA agar tindakan dapat dikenakan terhadap jurulatih badminton tersebut.

“BAM benar-benar terkejut dan akan memanjangkan isu ini termasuk menghantar aduan rasmi kepada CBA. Komen-komen yang memecah belahkan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan.

“Persatuan mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan yang perlu terhadap individu ini.

“Individu rasis seperti itu tidak sepatutnya diambil sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari jutaan peminat yang berbilang bangsa dan agama,” kata BAM dalam satu kenyataan.

Agaknya bimbang komen celuparnya itu bakal menjejaskan periuk nasinya di China, Guang Yik memuatnaik satu video permohonan maaf hari ini. “Saya secara ikhlas memohon maaf kepada semua orang.

“Sebab saya kongsikan komen-komen saya ialah kerana saya cintakan sukan (badminton) ini. Saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk cuba dan menjadikan sukan dan industri ini lebih baik untuk kebaikan semua.

“Itulah sebab saya katakan semua tahap pengurusan mestilah pada tahapa yang baik. Saya, bagaimanapun, tidak sepatutnya menyentuh isu perkauman dan atas sebab itu, saya mohon maaf sekali lagi,” katanya.