Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini memutuskan untuk melepaskan 12 orang pemain daripada senarai pasukan kebangsaan. Sementara dua lagi pemain iaitu S. Kisona (pemain perseorangan wanita) dan Low Hang Yee (pemain beregu lelaki) mengambil keputusan untuk meninggalkan BAM.
Pemain-pemain yang dilepaskan ialah Lim Chong King (perseorangan lelaki), Ting Wen Xuan (perseorangan lelaki), Myisha Mohd Khairul (perseorangan wanita), Eoon Qi Xuan (perseorangan wanita), Joanne Ng May Yin (perseorangan wanita), Khor Jing Wen (perseorangan wanita) dan Loh Zhi Wei (perseorangan wanita).
Sementara Chang Yee Jun (beregu lelaki), Lwi Sheng Hao (beregu lelaki), Mohamed Faris Amrin (beregu lelaki), Fawwaz Zainuddin (beregu lelaki) dan Muhammad Zulhairi Sahimi (beregu lelaki) turut menerima nasib sama. Kesemua nama yang diumumkan Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones ini merupakan sebahagian daripada skuad skuad senior Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Manakala Kisona dan Hang Yee pula berbuat demikian bagi memburu karier sebagai pemain badminton profesional. Selain membina karier sebagai pemain profesional, Kisona juga mahu fokus kepada pemulihan kecederaan selepas menjalani pembedahan lutut. Pemain perseorangan wanita ke-57 dunia itu berharap dia dapat pulih sepenuhnya agar dapat memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
BAM dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para pemain atas kesetiaan dan komitmen yang ditunjukkan kepada negara dan sukan badminton. BAM turut mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dan bersedia menghulurkan bantuan jika diperlukan.