Badminton: Lee Zii Jia Kini Tertekan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kebelakangan ini, Lee Zii Jia berdepan kemerosotan prestasi di beberapa kejohanan utama BWF termasuk Terbuka Malaysia dan Terbuka India. Dan hakikat itu membuatkan pemain perseorangan lelaki utama negara itu dalam keadaan tertekan.

Walaupun meraih beberapa kemenangan sebagai pemain perseorangan, ia masih tidak cukup untuk membantu Malaysia layak ke separuh akhir Kejuaraan Berpasukan Campuran Asia Badminton (BAMTC). Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas 3-2 kepada China pada Jumaat.

Ini meletakkan Zii Jia dalam kedudukan lebih tertekan terutama dengan statusnya sebagai kapten pasukan – satu fakta yang sedikit sebanyak mempengaruhi persembahannya di atas gelanggang.

“Situasi yang mungkin memberi tekanan. Dan semua orang pun tahu prestasi saya tak menentu sekarang ini. Tapi bagi saya, tak kira menang cara apa pun, saya sentiasa beri yang terbaik.

“Tak kira cantik atau tak cantik (permainan), saya perlukan satu kejuaraan untuk naikkan semula keyakinan saya,” katanya bila ditemubual Astro Arena semalam.

Dengan Kejohanan Seluruh England bakal bermula pada Mac ini, Zii Jia pastinya mahu menjadikan kejohanan itu sebagai medan kebangkitannya untuk tahun 2023.