Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir di pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023, cabaran Malaysia di suku akhir digalas beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai. Dan kedua-dua regu tidak mengecewakan apabila kedua-duanya layak ke separuh akhir.
Beregu campuran Soon Huat-Shevon terlebih dahulu memulakan cabaran Malaysia di suku akhir. Berdepan regu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Mentari, pada mulanya regu yang turut dikenali sebagai Candy Couple itu memenangi set pertama 21-17.
Tetapi Rinov-Pitha kemudiannya mempamerkan kebangkitan pada set kedua dengan keputusan 15-21. Set ketiga menyaksikan persaingan sengit kedua-dua regu tetapi Soon Huat-Shevon memastikan kemenangan 21-19 untuk mara ke separuh akhir.
Kecemerlangan regu campuran profesional negara itu dituruti oleh rakan seperjuangan, Yew Sin-Ee Yi. Berdepan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto yang juga pilihan pertama kejohanan, regu negara yang berstatus pilihan kelapan tampak tidak gentar dengan cabaran mereka.
Set pertama menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit memburu mata sehingga kedudukan deuce. Tetapi pada akhirnya, Yew Sin-Ee Yi berjaya mengatasi regu nombor satu dunia itu dengan keputusan 22-20.
Kemenangan tersebut memberi keyakinan kepada regu lelaki profesional itu. Pada set kedua, Yew Sin-Ee Yi memastikan kemenangan berada dalam genggaman dengan menewaskan Fajar-Rian menerusi keputusan 21-15.
Di peringkat separuh akhir, Soon Huat-Shevon bakal menentang beregu China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong. Sementara Yew Sin-Ee Yi pula perlu berdepan pemenang aksi suku akhir antara regu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan pilihan keempat dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.