BAC 2023: Langkah Lee Zii Jia & Ng Tze Yong Terhenti

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kem perseorangan badminton Malaysia suram hari ini apabila dua perseorangan utama negara Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong tunduk kepada lawan masing-masing hari ini dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tze Yong yang menduduki kedudukan ke-25 dunia tunduk kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dengan keputusan 17-21, 18-21. Menariknya, pemain Hong Kong itu pernah tewas kepada perseorangan kedua negara dalam saingan Terbuka Singapura pada Julai tahun lepas.

Tetapi kejutan terbesar untuk kem badminton negara ialah tumbangnya perseorangan utama merangkap juara bertahan BAC pada tahun lepas, Zii Jia. Seperti Tze Yong, Zii Jia turut tewas kepada seorang lagi pemain perseorangan Hong Kong, Angus Ng Ka Long.

Perseorangan utama negara itu terkandas di pusingan pertama dengan keputusan 19-21, 16-21. Ini merupakan kekalahan ketiga Zii Jia kepada Ka Long dalam empat perlawanan.

Kali terakhir mereka bertemu ialah pada Indonesia Masters yang berlangsung pada Januari tahun ini. Perlawanan tersebut menyaksikan ia berlangsung sebanyak tiga set dengan Zii Jia tewas 21-16, 22-20, 21-13.

Tanpa kelibat Zii Jia dan Tze Yong, kini para penyokong Malaysia melihat cabaran BAC 2023 digalas oleh barisan beregu negara. Ini termasuk cabaran juara dunia dan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.