Azreen Nabila Perlu Diberi Pendedahan Berkelas Dunia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Bekas raja pecut negara, Nazmizan Muhammad menganggap sudah sampai waktu untuk wakil pecut perempuan negara, Azreen Nabila Alias diberi pendedahan dan berlatih di luar negara. Menurut Nazmizan, latihan di luar negara bakal membantu Azreen untuk beraksi dengan baik di kejohanan peringkat Asia.

“Sudah tiba masanya Azreen dihantar menjalani latihan di luar negara sambil belajar seperti pelumba trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang. Latihan di luar negara itu penting sebagai persiapan menjelang Sukan Asia, Sukan SEA dan Sukan Komanwel ketika usianya semakin matang.”

“Selain Azreen, pelari lain juga wajar diberi pendedahan berlatih di luar negara sebagaimana atlet terdahulu bagi meneruskan kesinambungan dalam sukan itu,” katanya ketika dihubungi BH Online semalam.

Nazmizan menjelaskan bahawa Majlis Sukan Negara perlu meninjau beberapa buah negara yang sesuai untuk dipertimbangkan buat wakil-wakil pecut negara berlatih. Latihan di luar negara bakal memberi peluang buat wakil Malaysia memburu kejayaan di peringkat dunia.

“Selain pentas ASEAN dan Asia, saya berpandangan jika hantar Azreen menjalani latihan di luar negara ia juga memberi peluang kepadanya mengintai kejayaan di pentas dunia sekali gus mampu mencipta sejarah buat negara.”

“Bagaimanapun MSN perlu mencari tempat latihan yang bersesuaian seperti di Amerika Syarikat, Kanada ataupun Jerman dengan membawa sekali jurulatih dalam tempoh yang lama dan bukan hanya tiga empat bulan sahaja. Lagi pun tahap pertandingan di sana adalah tinggi berbanding tempat lain.”

Tahap berlatih dan intensiti kejohanan yang tinggi bakal membantu atlet negara bersaing dengan pelari-pelari lain. Tambah Nazmizan, Azreen adalah permata negara dan beliau begitu berbakat. Adalah satu kerugian jika beliau tidak dapat pendedahan terbaik.

“Sebagai contoh pengalaman saya berguru di AS lebih tiga bulan, tahapnya terlalu tinggi walaupun kejohanan tempatan. Jadi ianya boleh membantu Azreen dan atlet lain untuk bersaing dengan pelari di sana.”

“Lagipun Azreen adalah permata berharga dan begitu berbakat. Jadi rugi pelari seperti itu jika tidak diasuh dengan sempurna,” kata Nazmizan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *