Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dirinya masih berbisa sebagai jaguh basikal trek negara. Ini selepas beliau menggondol pingat perak acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta semalam.
Pelumba berusia 35 tahun itu merekodkan catatan masa 10.263 saat di Velodrom Antarabangsa Jakarta. Beliau hanya dipisahkan 0.024 saat di belakang pemenang dan juara dunia tiga kali acara itu dari Belanda, Harrie Lavreysen yang merekodkan catatan masa 10.239 saat.
Pingat gangsa digondol oleh pelumba Israel, Mikhail Yakovlev dengan catatan masa 10.423 saat. Seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal menamatkan acara final keirin selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba New Zealand, Sam Dakin pada pusingan terakhir.
Sebelum itu, Muhammad Ridwan Sahrom gagal menyertai Azizul dan Shah Firdaus selepas tidak layak ke suku akhir. Ini selepas Ridwan gagal melepasi repechage pusingan pertama.
Selepas pulih daripada pembedahan jantung terbuka bagi merawat penyakit arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA), Azizul kembali aktif pada penghujung tahun lepas. Hari ini, beliau dijadualkan beraksi dalam acara pecut.