Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dirinya tetap berbisa sebagai pelumba basikal trek Malaysia apabila menggondol pingat emas acara pecut saingan Austral Wheelrace edisi ke-125 semalam. Selain menggondol pingat emas acara pecut, beliau turut menggondol pingat perak dalam acara keirin.
Pelumba trek berusia 34 tahun itu mengatasi cabaran Sam Gallagher dari Kelab Berbasikal Blackburn dalam final acara pecut. Azizul kemudiannya menamatkan saingan keirin di tempat kedua di belakang James Brister dari Kelab Berbasikal Port Adelaide. Ini merupakan kejayaan pertama beliau sejak merekodkan pencapaian pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ogos tahun lalu.
Azizul sebelum itu mengatasi cabaran pelumba New Zealand, Sam Dakin di peringkat separuh akhir. Beliau turut mencipta rekod masa sepusingan terpantas di peringkat kelayakan dengan catatan masa 9.766. Austral Wheelrace merupakan sebuah acara berprestij kerana ia merupakan acara berbasikal tertua di dunia.
Dalam catatannya di Facebook, Azizul berkata, “Alhamdulillah. Pertamanya, saya sangat bersyukur dengan prestasi pada Kejohanan 125th Austral Wheelrace ini. Kedudukan pertama dalam acara pecut dan kedua dalam acara keirin memberikan mata penting untuk saya layak ke Nation Cup awal tahun depan yang mana antara proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya juga melihat ada peningkatan yang sangat drastik dalam prestasi saya berbanding perlumbaan pertama di UCI TCL dulu, syukur. Ini jelas menunjukkan jika kita sentiasa berusaha gigih tanpa berputus asa, kejayaan itu akan pasti berdamping dengan kita, tidak kira tua atau muda, Insyaallah.
“Keduanya, saya berbangga kerana dapat mengharungi perlumbaan ini walaupun terkontang-kanting seorang diri. Sayalah atlet, sayalah mekanik, sayalah ‘helper’ diri saya dan sayalah jurulatih sendiri. Bukan mudah berlumba di peringkat tinggi dan perlu uruskan semua perkara ini kerana proses pemulihan adalah amat kritikal, setiap saat sangat bermakna.
“Ditambah dengan usia pertengahan 30-an ini, proses pemulihan agak perlahan dan tidak seperti ketika di usia 20-an dulu. Saya memanaskan badan seorang diri, saya tukar ‘gearing’ sendiri dan pelbagai perkara saya lakukan secara ‘multitasking’ ketika perlumbaan berlangsung. Ini adalah kali pertama saya perlu berhadapan dengan cabaran sebegini rupa, pada usia sebegini. Bukanlah sesuatu yang ideal untuk peringkat berprestasi tinggi, kadang-kadang jiwa kena kental.
“Secara keseluruhannya, walaupun menjalani pembedahan jantung pada awal tahun ini, saya tidak melihat ianya menjadi halangan buat saya untuk terus berjuang untuk negara dan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti. InsyaAllah, dan sudah tentu masih dengan misi (terakhir) untuk menggapai pingat emas.”
Ketua jurulatih pasukan berbasikal trek kebangsaan John Beasley mengakui tidak menjangkakan Azizul menunjukkan kebangkitan dengan pantas. “Kita bermula dari awal dan mengadakan latihan seperti mana dilakukan pada permulaan kariernya dan membuat kemajuan perlahan-lahan apabila beliau bersedia untuk langkah seterusnya untuk proses ini.
“Kita belum lagi melakukan latihan kepantasan dan belum merancang untuk melakukannya dalam tempoh beberapa bulan, jadi ada banyak perkara yang perlu dilakukan,” katanya. Azizul menjalani pembedahan bagi memperbetulkan anomali pada saluran koronari arterinya pada bulan April lepas dan terpaksa berehat panjang selama tujuh bulan.
Beliau kemudiannya membuat kemunculan semula dalam kejohanan Trek Liga Juara-Juara UCI (TCI) pada November lepas dan merekodkan kedudukan kelapan keseluruhan. Azizul kemudiannya mendapat tempat kedua acara keirin dalam Piala Presiden PKBM di belakang Dakin di Nilai minggu lepas.
Kini, fokus terbaru jaguh basikal trek negara itu ialah Kejohanan Trek Negara-Negara UCI 2023 di Indonesia dan Mesir pada Februari dan Mac tahun depan. Setelah itu, Azizul akan pulang ke Malaysia bagi membuat persiapan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.