Azeem Fahmi: Saya Tak Sangka Pergi Sejauh Ini

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Bagi pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, peluang beraksi di luar negara dengan menyambung pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) merupakan satu peluang yang tak dapat dilepaskan. Tetapi ia datang dengan pengorbanan yang besar.

Ia satu pengorbanan kerana dengan menerima tawaran Universiti Auburn, dia terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta. Pada masa sama, Azeem perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran di AS yang jauh berbeza dengan suasana di tanah air termasuk dari segi pengajian.

Walaupun sibuk dengan aktiviti trek, pelajaran terus diutamakan oleh anak jati Perak itu. Ini dinyatakan dalam ciapannya di Twitter semalam.

“Tak pernah terfikir saya akan pergi sejauh ini. Mama dan Abah, saya takkan berhenti membuatkan kamu berdua bangga dengan saya!!” tulisnya. Ia kemudiannya disusuli dengan penerangan bahawa dia bakal menduduki peperiksaan hari ini.

Sebaik ia dimuatnaik di laman media sosial semalam, ramai mendoakan yang terbaik buat pelari pecut negara itu dan berharap Azeem cemerlang baik di atas trek mahupun pelajaran.