Azeem Fahmi Pecah Rekod 24 Tahun

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Dunia olahraga mendapat khabar ceria dari Amerika Syarikat hari ini. Ini selepas pelari pecut negara Mohd Azeem Fahmi memecahkan rekod kebangsaan untuk acara lari 60 meter dalam dewan dalam Texas Tech Open & Multi.

Berita gembira ini dikongsikan oleh beberapa akaun media sosial termasuk wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran beberapa jam lepas.

Catatan masa 6.63 saat yang direkodkan dalam pusingan pertama acara lari 60 meter dalam dewan memecahkan rekod Watson Nyambek dalam acara sama iaitu 6.66 saat. Rekod tersebut dicipta The Flying Dayak dalam Kejohanan Dunia pada 1999.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan acara lari 100 meter kemudiannya menggondol tempat kedua dalam aksi final lari 60 meter dalam dewan dengan catatan masa 6.65 saat.

Micah Williams muncul pemenang acara tersebut dengan catatan 6.49 saat. Ia merupakan catatan terpantas yang direkodkan setakat ini tetapi masih tidak boleh mengatasi rekod dunia 6.34 saat yang dipegang pelari pecut Amerika Syarikat, Christian Coleman.