Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Hasrat Muhammad Azeem Fahmi memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter dalam dewan buat kali ketiga tidak kesampaian. Ini selepas dia berjaya menamatkan final acara tersebut di tempat keempat dalam Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC yang berlangsung pada awal pagi tadi.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn merekodkan catatan masa 6.70 saat – catatan sama yang direkodkan dalam acara kelayakan sebelum ini. Rakan sepasukannya, Favour Ashe muncul juara dengan catatan masa 6.52 saat.
Sementara Jordan Anthony (Kentucky) pula berada di tempat kedua dengan 6.57 saat dan Godson Oghenebrume (LSU) ketiga dengan catatan masa 6.64 saat.
Walaupun berada dalam kelompok lima pelari pecut terbaik, Azeem masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya. “Bukan hari saya, kembali semula berlatih!” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Ini kerana semua sedia maklum keupayaannya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali. Ini termasuk catatan masa 6.63 saat yang memecahkan rekod lama yang dipegang Watson Nyambek di Kejohanan Texas Tech Open & Multi, Texas hujung bulan lepas.
Yang pasti, ramai berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan dalam acara padang pula khususnya acara lari 100 meter.