Azeem Fahmi Berpeluang Pecah Rekod Kali Ke-3

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Sejak memecahkan rekod lumba lari dalam dewan 60 meter yang dipegang Watson Nyambek, nama Muhammad Azeem Fahmi mula meniti di bibir peminat-peminat olahraga negara. Dan Azeem berpeluang memecahkan rekod itu buat kali ketiga di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC pada hujung minggu ini.

Kejohanan yang berlangsung di Fayetteville, Amerika Syarikat (AS) itu merupakan sebahagian daripada Southeastern Conference (SEC), persidangan sukan kolej terbesar di AS. Bagi Azeem yang membuat penampilan sulung di SEC, ia merupakan satu peluang yang tidak mahu dilepaskan.

“Kejohanan SEC dalam dewan pertama saya minggu ini, satu lagi peluang untuk memperbaiki prestasi,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Azeem menarik perhatian ramai apabila memecahkan rekod Watson yang dicipta lebih 20 tahun lepas dengan catatan 6.63 saat Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas hujung bulan lepas.

Ia kemudiannya dipecahkan lagi buat kali kedua menerusi catatan 6.62 saat semasa menduduki tempat kelima acara sama di final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina pada 11 Februari lalu.

Yang pasti bagi bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid, pengalaman beraksi di SEC bakal menjadikan puteranya itu lebih baik sebagai atlet.

“Ini adalah persidangan universiti terbesar di AS. Ramai juga atlet bertaraf dunia yang akan beraksi di kejohanan itu nanti, sudah tentu ini akan memberikan pengalaman yang berharga untuk Azeem…mohon semua doakan yang terbaik untuk Azeem,” katanya.