Pra-Paralimpik 2020: Atlet Negara Berhati-Hati Jalani Latihan, Patuhi SOP Semasa

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Atlet paralimpik negara, Brenda Anellia menjelaskan bahawa para atlet negara kini lebih berhati-hati ketika menjalani latihan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19.

Atlet muda yang berusia 16 tahun itu sedikit gusar dengan situasi semasa di Tokyo akibat daripada sikap cuai sesetengah atlet negara lain yang tidak mematuhi SOP.

Dalam satu temu bualnya bersama Astro Arena, Brenda berkongsi sedikit sebanyak perkembangan beliau disana. Brenda akui suasana di Tokyo sedikit berbeza namun sesi latihannya berjalan dengan lancar. Cuma yang membimbangkan dirinya hanyalah berkaitan keselamatan atlet disana.

“Apa yang membimbangkan saya adalah kecuaian para atlet. Disini terlampau ramai orang, naik bas pun berebut. Sesetengah atlet negara lain tidak mengamalkan penjarakan sosial. Ada juga diantara mereka yang tidak memakai penutup muka dengan betul,” kata Brenda.

Sungguhpun begitu, Brenda memaklumkan bahawa SOP yang dilaksanakan oleh pihak penganjur amat ketat, namun sikap tidak endah para atlet ini yang merisaukan dirinya.

“Penganjur amat cakna berkaitan SOP semasa. Dimana-manapun ada ‘Hand Sanitizer’ dan pegawai bertugas sentiasa mengingatkan para atlet untuk memakai penutup muka. Ada penjarakan satu meter ketika berbaris dan terdapat penghadang sebagai SOP ketika makan,” jelas Brenda.

Brenda bagaimanapun bakal beraksi dalam acara 50 meter (m) kuak lentang kategori S4 wanita. Atlet akuatik negara ini menyasarkan layak ke pentas final dalam penampilan sulungnya kali ini.

Semoga Brenda dan para atlet negara dapat mempamerkan aksi cemerlang di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti. Ikuti temu bual wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkefly bersama Brenda Anellia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *