Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Penyokong-penyokong Malaysia menghela nafas lega apabila skuad badminton Piala Sudirman 2023 negara membenam India 3-0 hari ini. Tetapi apa yang menarik perhatian para penyokong ialah aksi ‘Siuu’ perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.
Berdepan pemain perseorangan yang menduduki ranking ke-22 dunia, Srikanth Kidambi, Zii Jia berupaya mengatasi setiap ancaman yang dihadirkan lawannya itu dengan meraih kemenangan 21-16 di set pertama.
Tidak mahu memberi peluang kepada Srikanth untuk bangkit semula, Zii Jia memastikan set kedua dalam genggaman dengan kemenangan 21-11. Dan selepas bersalaman dengan pemain India itu dan pegawai-pegawai perlawanan, anak jati Alor Setar, Kedah itu kemudiannya melakukan aksi ‘Siuu’ di atas gelanggang.
Penonton yang berada di Pusat Sukan Olimpik Suzhou itu amat teruja dengan aksi berkenaan. Zii Jia dikatakan berbuat demikian sebagai menghargai sokongan yang diberi mereka sepanjang perlawanan.
Yang pasti, kemenangan diharap dapat memberi suntikan motivasi kepada Zii Jia untuk tampil lebih konsisten selepas ini. Ini termasuk membantu Malaysia tampil lebih cemerlang dalam aksi Piala Sudirman edisi 2023.
Ketika ini, aksi Malaysia-India masih lagi berlangsung dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedang beraksi menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.