Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pencinta badminton tanah air hari ini merakamkan perasaan bercampur-baur terhadap perjuangan atlet negara dalam Terbuka Birmingham 2022 hari ini.
Ini susulan aksi mendebarkan yang ditampilkan oleh pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan juga Cheah Yee See ketika menewaskan pasangan dari England, Ellis M. dan Smith L.
Pertarungan berlangsung dengan cukup mendebarkan apabila harapan negara ini tewas pada set pertama dengan keputusan 12-21.
Para peminat nyata merasakan bahawa pasangan ini mampu untuk melakukan aksi yang lebih baik apabila kesilapan-kesilapan mudah menyebabkan mereka tewas pada set ini.
Walau bagaimanapun, aksi tak reti penat Peng Soon dan Yee See membuahkan hasil apabila mereka menghukum kealpaan lawan dengan keputusan 21-18.
Rentak ini jelas dapat dikekalkan menjelang set penentuan apabila mereka terus membanggakan rakyat Malaysia dengan kemenangan bergaya 21-13.
Para peminat jelas ‘hilang jantung’ sambil menunggu pasangan berpengalaman negara ini mengesahkan kemenangan.
“Boleh hilang jantung kalau tengok game macamni hari-hari,” jelas Haziq di ruangan komen BAM.
Perjuangan negara diteruskan bagi memastikan Malaysia layak ke pentas Final kejohanan ini.