Aksi Intan Serah Dapat Pujian Bintang Futsal Thailand

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Penyerang skuad futsal wanita negara, Intan Serah terus menjadi sebutan ramai kebelakangan ini. Terbaru, cubaannya melakukan sepakan voli dalam sesi latihan pasukan futsal wanita Selangor mencuri perhatian bintang futsal Thailand, Kritsada Wongkaeo.

Dalam satu hantarannya di Instagram, Intan berkongsi cubaannya melakukan sepakan voli ke arah pintu gol. Bagaimanapun, cubaan pemain berusia 23 tahun itu gagal sekaligus mengundang ketawa nakal rakan-rakan sepasukannya.

Walaupun hantarannya mengundang rasa geli hati rakan-rakan yang mengenalinya, ada satu komen yang menarik perhatian ramai iaitu dari Kritsada. Bagi legenda futsal Thailand itu, Intan merupakan seorang pemain yang hebat.

“Pemain terbaik,” tulisnya di ruang komen. Intan yang terkejut dengan komen Kritsada kemudiannya membalas, “Pemain terbaik yang sebenar,”

Ini menunjukkan bakat Intan sudah disedari ramai pihak termasuk di luar negara. Dan itu juga bisa menjadi pembakar semangat bagi kapten skuad futsal wanita Malaysia itu untuk terus konsisten bila beraksi dalam perlawanan.