Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Qatar hari ini sempena lawatan khas baginda ke Qatar selama enam hari bermula hari ini. Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, lawatan ini dibuat bagi memenuhi undangan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena Piala Dunia Qatar 2022.
Tambahnya, persilaan peribadi itu telah dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos 2022. Ia merupakan sebahagian daripada agenda lawatan Sheikh Mohammed semasa mengadakan lawatan ke Malaysia selama dua hari pada Ogos lalu.
“Selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia itu, Seri Paduka turut dijadual melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas tersebut.
Seri Paduka bukanlah nama asing dalam dunia bola sepak. Selain pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baginda juga pernah memegang jawatan Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari tahun 2015 hingga 2019.
Bagaimanapun, selepas melalui pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal 2019, Seri Paduka telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan. Baginda dijadual berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember ini.