Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Malaysia terpaksa membayar harga yang cukup mahal dalam kejohanan Piala AFF kali ini apabila khidmat pertahanan muda negara, Azam Azmi Murad terpaksa dilupakan apabila beliau digantung dua perlawanan.
Pemain berusia 21 tahun itu difahamkan tidak dapat diturunkan selepas jawatankuasa disiplin AFF memutuskan bek kanan itu perlu menjalani penggantungan dua perlawanan.
Sebelum ini, FAM telah menghantar surat bantahan kepada AFF berkenaan kad merah yang diterima Azam pada perlawanan ketiga Kumpulan B menentang Vietnam selepas meneliti keseluruhan rakaman perlawanan termasuk insiden kad merah Azam.
Keputusan kontroversi itu berlaku ketika bek kanan skuad Penyu itu dilayangkan kad merah oleh pengadil Jepun, Ryuji Sato. Beliau didakwa mengasari bek kiri Vietnam, Doan Van Hau di luar padang kotak penalti pada babak kedua permainan.
Hukum itu bertambah buruk apabila Sato turut memberi sepakan penalti kepada Vietnam. Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 3-0 Pahlawan Bintang Emas ke atas Harimau Malaya.
Malaysia bakal berdepan Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan B bagi menentukan siapa yang layak ke separuh akhir.