Adisak Kraisorn Puji Liga Super, Anggap Antara Liga Terbaik ASEAN

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Walaupun diberi peluang terus beraksi di Liga Thailand, penyerang skuad Gajah Perang, Adisak Kraisorn memilih mencari cabaran liga baru bersama Terengganu. Sebabnya mudah, Liga Super ketika ini dianggap antara liga terbaik di rantau ASEAN.

Ketika ini, Adisak bersama rakan-rakan sepasukannya sedang menjalani program pra-musim di Thailand. Di sebalik cabaran liga baru yang dilihat lain daripada Liga Thailand, itu bukan satu isu buat pemenang Piala AFF 2022 itu.

“Ini merupakan cabaran baharu untuk saya di Malaysia memandangkan Liga Super bagi saya antara yang terbaik di Asean. Saya ada tengok juga di YouTube bagaimana ramainya penyokong di Terengganu dan mereka sangat baik, jadi saya suka di sini.

“Berkenaan bermain di waktu petang, sudah tentu saya tiada masalah sebab di Thailand juga kadang-kadang ada bermain di waktu petang.

Untuk itu, saya juga kena belajar memahami peraturan Liga Malaysia dan saya kena belajar daripada semua sudut, jadi saya akan cuba yang terbaik”, katanya.

Terengganu bakal membuka saingan Liga Super menerusi perlawanan Sumbangsih dengan JDT pada 24 Februari ini. Adisak mengakui Harimau Selatan merupakan lawan sukar lebih-lebih lagi dibarisi ramai pemain kebangsaan seperti Arif Aiman, Afiq Fazail dan Matthew Davies.

Malah, bekas penyerang Muangthong United itu sudah masak dengan awang import JDT dari Brazil, Diogo Luis Santo. Diogo mencipta 118 gol bersama Buriram United dan BG Pathum United tetapi dia percaya Terengganu ada ramuan untuk menyekat JDT.

“Ini merupakan perlawanan pertama kita lawan JDT dan mereka adalah pasukan yang cemerlang di Malaysia. Kami telah mempersiapkan diri lebih sebulan sekarang dan semuanya sedang bekerja keras untuk beraksi sebaiknya nanti.

“Kita tahu rata-rata mereka ada dalam skuad kebangsaan dan juga ada pemain import yang terbaik tetapi kami juga ada pemain import yang bagus.

“Saya turut mengenali Diogo (Luis Santo), dia pernah beraksi di Liga Thailand dan ada juga saya tengok pemain-pemain lain beraksi terutamanya ketika di skuad kebangsaan, jadi saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang hebat nanti,” tambahnya.