Adisak Kraisorn Kecewa Di Terengganu

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Dengan Terengganu berada di tangga tercorot liga dengan satu mata dan tanpa gol, situasi ini meresahkan penyokong Terengganu. Bagi penyerang Thailand, Adisak Kraisorn, dia amat memahami kekecewaan mereka.

Setiap kali diturunkan sama ada ke kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian, Adisak berusaha menjaringkan gol tetapi tidak berhasil. Walaupun kecewa belum menemui sentuhan penyudah, bekas penyerang Muangthong United itu yakin dapat menjadi mesin gol skuad Peteh yang boleh diharap.

“Jika diturunkan jurulatih menentang PDRM FC pada Sabtu ini, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan merakam kemenangan pertama pada musim ini.

“Namun bola sepak adalah aksi berpasukan, tidak semestinya saya yang menjaringkan gol, jika rakan sepasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, pasti mereka pun mampu mencetak namanya sebagai penjaring, yang penting adalah tiga mata terutama beraksi di tempat sendiri.

“Lagipun bukan sahaja peminat mahukan kemenangan, kami pun sama, saya percaya rakan sepasukan juga sentiasa berusaha untuk melakar kemenangan sekali gus sebagai penawar pasukan,” katanya kepada Arena Metro.

Selain Adisak, penyerang Croatia, Ivan Mamut juga berdepan masalah sama. Kedua-duanya kini perlu bekerja kerana pasti tidak mahu dibandingkan dengan dua penyerang import Peteh musim lepas, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.

Perlawanan Liga Super Terengganu seterusnya ialah berdepan PDRM di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok. Ramai mengharapkan Adisak dan Mamut mampu menamatkan kemarau jaringan masing-masing dan membantu Peteh mencatat kemenangan pertama dalam liga.