Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal rangka tindakan bagi mengatasi masalah-masalah yang membelenggu pengurusan bola sepak di negara ini termasuk isu tunggakan gaji. Antara yang terkesan dalam hal ini ialah Melaka United atau nama barunya Melaka FC. Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim bila diminta mengulas kemelut tunggakan gaji yang membelenggu pasukan berkenaan.
Pemerhati bola sepak dan penyokong setia skuad Hang Tuah sudah lali dengan cerita tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu sejak beberapa tahun lepas. Malah, hal ini turut menyebabkan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) ditegur Tunku Mahkota Johor dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Januari lepas.
Menurut Adam Adli, pelan tindakan tersebut perlu dibuat bagi mengenalpasti punca permasalahan ini berlaku. Tetapi sebelum ia dapat dilaksanakan, KBS bakal mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pengurusan kelab bagi mengenalpasti solusi terbaik untuk isu yang telah berlarutan selama beberapa bulan.
“Kalau penajaan ditarik dan sebagainya kena cari penaja lain, kena selesaikan masalah sebenar, selidik betul-betul dan perlu duduk berbincang. Perlu ada rangka tindakan untuk selesaikan isu tunggakan gaji ini yang berulang dalam sukan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Fatimah, Melaka semalam.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut mengetahui kemelut tunggakan gaji yang membelenggu pasukan yang sebelum ini dikenali sebagai Melaka United itu. Tetapi beliau turut mengingatkan KBS tidak boleh masuk campur dalam hal pembayaran gaji kerana pengurusan pasukan itu dikendalikan oleh pihak swasta.
“Masalah ini ada jalan keluar, hanya perlu datang dengan solusi tepat, kena ada kerjasama yang baik dalam kalangan penggerak sukan untuk memastikan isu ini tidak berulang,” tambahnya lagi.
Isu tunggakan gaji ini membuatkan ramai pemain Melaka United angkat kaki dan menyertai pasukan lain. Antara pemain yang sudah atau bakal berbuat demikian ialah Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman (Kedah), Asyraaf Omar (Kelantan United) dan Sony Norde (Terengganu).