Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Surat seorang pemain bola sepak remaja menarik perhatian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim. Selepas Muhammad Nurazrieman Syah Muhd Faisal mendedahkan menerima tawaran menyertai Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau terpanggil untuk membantunya pergi ke akademi berkenaan.
Dalam ciapan di Twitternya semalam, Adam Adli mendedahkan Nurazrieman atau Jieman, 12, merupakan seorang pemain berbakat dan pernah mengikuti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Setiap minggu saya teliti surat-surat permohonan bantuan di Pusat Khidmat. Satu permohonan menarik perhatian saya beberapa hari lepas, datangnya daripada ibu bapa kepada seorang pelajar bernama Nurazrieman atau lebih mesra dipanggil Jieman.
“Kebolehannya telah melayakkan beliau baru-baru ini untuk mendapat pelawaan menyertai Akademi JDT yang menjadi laluan buat beliau bermain secara profesional beberapa tahun dari sekarang. Jumaat ini Jieman akan melapor diri, namun sayangnya persediaan beliau masih belum lengkap.
“Jieman tidak datang dari keluarga senang. Ibu bapanya berniaga kecil dan bekerja sendiri. Ada kekangan kewangan yang sedikit menjejaskan persediaan Jieman untuk ke Iskandar Puteri.
“Kami mahu impian Jieman tercapai, maka kami setuju untuk bantu. Yang penting, Jieman dapat mulakan perjalanan baharu dengan hati yang lapang dan sedia beri yang terbaik untuk banggakan ibu bapanya,” katanya.
Atas sebab itu, Adam Adli memperuntukkan bantuan bagi membolehkan Jieman mendapatkan kelengkapan yang diperlukan ke akademi. Beliau juga pada awalnya mahu menemani pemain remaja itu membeli barang tetapi terpaksa membatalkan hasratnya kerana kekangan masa.
“Atas kekangan masa, Jieman hari ini dibawa mencari keperluan oleh pegawai-pegawai Pusat Khidmat bersama ibunya sendiri.
“Saya sempat buat panggilan video kepada Jieman, sekadar untuk memberi semangat buat beliau. Semoga ada peluang untuk bertemu Jieman sendiri, kalau tidak di Hang Tuah Jaya, mungkin di Iskandar Puteri. Buat Jieman; selamat maju jaya, selamat membanggakan ibu bapa dan rakan-rakan yang lain,” tambahnya.