Adam Adli Ramal Masa Depan Pemain AMD Cerah

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mula melahirkan ramai bakat baru dalam sukan bola sepak. Dan bagi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, bakat-bakat ini mampu melonjakkan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

Pandangan ini dibuat selepas beliau mengadakan lawatan ke AMD di Gambang, Pahang hari ini. Lawatan tersebut diadakan bagi meninjau sendiri keadaan AMD dan apa langkah penambahbaikan yang boleh diambil bagi menjadikan ia lebih mantap.

“Saya berbangga melihat semangat tinggi semua pelatih, jurulatih di AMD dan telah membuka ruang untuk mereka mengemukakan pandangan bagi memastikan keberkesanan program di AMD melalui sesi khas di sana.

“Saya menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada pihak AMD untuk terus membina keupayaan membangunkan barisan pelapis bola sepak negara bertaraf antarabangsa,” katanya.

Turut menyertai Adam Adli dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Pengarah Bahagian Bakat MSN, Encik Mohd Safrushahar Yusoff, wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di AMD, Datuk Jamal Nasir dan Pengurus Besar Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Yusuf Ibrahim.

NFDP merupakan program akar umbi yang diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan tujuan mencari bakat-bakat baru di seluruh negara

Antara bakat yang dilahirkan menerusi program NFDP ialah penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin dan pemain pertahanan Selangor, Harith Haikal Adam Afkar.