Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan baharu, Adam Adli Abd Halim percaya rasuah menjadi salah satu punca sukan di Malaysia sukar berkembang maju.
Beliau memohon maaf sebelum mengeluarkan kenyataan namun percaya rasuah menjadi salah satu punca sebahagian atlet gagal menyerlah atau tidak diberikan peluang.
“Ini masalah dalaman. Saya yakin media tahu sangat isu ini. Ia bukan berkaitan prestasi para atlet. Ada (para atlet) yang hampir membawa emas untuk negara, ada yang hampir mara ke kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Selalunya akan ada masalah dan bila dilihat lebih mendalam, ia akan pergi semula kepada puncanya. Kadangkala, kebanyakan masanya, maaf cakap…ia adalah disebabkan rasuah,” katanya dalam sidang media di Menara KBS semalam.
“Kita kena kerja bersama, tak boleh buat berseorangan. Saya perlu rujuk pegawai kementerian. Saya kena berhati-hati, kalau tidak anda pun akan hilang keyakinan.
“Lagipun saya juga tak boleh memberi tempoh masa untuk melaksanakan sesebuah pendekatan atau perubahan yang dirancang kerana kita dalam proses mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan dan ketirisan, tapi insya Allah kita akan melaksanakan segala penambahbaikan dengan perancangan penuh teliti nanti,” ujarnya.
Adam Adli sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia & Sukan kepada Menteri semasa, Hannah Yeoh Tseow Suan.