Adam Adli Mahu Lihat Malaysia Lahirkan Lebih Ramai ‘Kogileswaran’

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Perpindahan sensasi pemain sayap PJ City, R. Kogileswaran ke Chungbuk Cheongju menjadi bualan ramai sejak beberapa hari lepas. Dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap lebih ramai bakat baru dilahirkan dan mampu beraksi di peringkat antarabangsa seperti Kogi.

Hasrat ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim. Justeru, beliau menggesa persatuan-persatuan sukan menggiatkan usaha di peringkat akar umbi bagi membantu KBS mengenalpasti atlet pelapis untuk masa akan datang.

“Usaha itu boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan bagi mencari bakat baharu di seluruh negara, kami di KBS sentiasa komited memajukan sukan terutama dalam melahirkan ramai atlet muda untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan seterusnya mengharumkan nama negara.

“KBS memang ada merangka program untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan agar ia ada kesinambungan dan pelapis namun saya percaya dengan kerjasama persatuan sukan, lebih ramai bakat baharu terutama dalam bola sepak seperti R. Kogileswaran dapat dilahirkan pada masa depan,” katanya.

Adam Adli ditemui media selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak ‘Road to Glory to Real Madrid 2023’. Ia turut dihadiri oleh bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Stadium Mini Permatang Rawa semalam.

Kogi memeterai kontrak setahun dengan Chungbuk yang beraksi di Liga Korea 2. Ini menjadikan bekas pemain Sri Pahang itu sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di Liga Korea.