Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Isu kemudahan sukan di Malaysia bukan satu isu baru. Bukan sekali kedengaran keluhan tentang fasiliti sukan seperti usang, sewa fasiliti mahal atau tak memenuhi piawaian hari ini. Hal ini mahu diatasi oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Isu tersebut merupakan antara isu berbangkit yang dihadapi persatuan sukan dan atlet dalam negara. Justeru, sebagai langkah awal, satu sesi libat urus sedang diadakan bagi mengenalpasti solusi terbaik untuk permasalahan berkenaan.
Selain isu kemudahan sukan, isu kebajikan atlet dan pembangunan sukan di peringkat akar umbi turut menjadi fokus sesi libat urus berkenaan.
“Sekarang ini kita dalam proses untuk kumpulkan semua input yang kita ambil daripada persatuan sukan dan sukan para, atlet podium serta atlet kebangsaan.
“Menerusi sesi libat urus tempoh hari kita dapat gambaran lebih jelas tentang permasalahan dihadapi mereka, masalah yang berlarutan dan mungkin sudah pun disuarakan sebelum ini,” katanya.
Adam Adli memberi jawapan berkenaan kepada pihak media selepas berlangsungnya majlis pelepasan dua wakil skuad atlet sukan elektronik negara, Todak dan Haq ke Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.