Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas lebih 10 tahun tidak memenangi acara ujian masa 1 kilometer lelaki dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), kemarau tersebut ditamatkan hari ini. Ini selepas Muhammad Fadhil Zonis meraih pingat emas acara tersebut pada hari terakhir ACC 2023 di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.
Fadhil mencatatkan masa 1 minit 0.559 saat (ss) sekaligus catatan masa terpantas acara itu berbanding sembilan pencabar lain. Kali terakhir kem negara meraih emas acara tersebut menerusi Mohd Edrus Yunos dalam edisi 2012 di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur.
Fadhil mengatasi cabaran juara remaja dunia, Ronaldo Laitonjam dari India yang mencatatkan 1 minit 0.863s. Sementara Choi Woo-rim dari Korea Selatan pula meraih pingat gangsa.
Dalam catatannya di akaun Instagram peribadinya, Fadhil memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t atas kemenangan tersebut. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong termasuk keluarga tercinta.
“Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas rezeki yang Engkau berikan kepadaku. Pingat emas yang selama ini saya idamkan.
“Emas acara 1 kilometer di Kejohanan Berbasikal Trek Asia. Terima kasih semua yang mendoakan dan menyokong selama ini. Gelaran kejuaraan Asia pertama saya,” katanya.
Ramai percaya kejayaan Fadhil didorong oleh pencapaian Datuk Azizulhasni Awang yang meraih pingat emas untuk acara pecut dan keirin sebelum ini.
Selain Fadhil, kem negara terus ceria apabila pelumba trek wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat perak acara ujian masa 500 meter wanita. Beliau juga turut memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Fatehah Mustafa dengan catatan masa 34.226s.