ACC 2023: Azizulhasni Awang Raih Emas Penuh Bergaya

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus membuktikan dirinya terus berbisa di gelanggang trek hari ini. Ini selepas pelumba trek berusia 35 tahun itu meraih pingat emas acara pecut individu elit lelaki Kejohanan Lumba Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023.

Sebaik menyedari dirinya berjaya meraih gelaran Raja Pecut Asia, Azizulhasni mengangkat tayar basikalnya bila melepasi garisan penamat di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau memastikan kemenangan 2-0 ke atas pelumba Jepun, Kaiya Ota di pentas final. Azizulhasni sebelum itu turut mencipta rekod kebangsaan 9.523 saat di pentas separuh akhir ACC 2023 dengan mengatasi rakan senegara Ota, Kento Yamasaki.

Rekod tersebut jauh lebih pantas berbanding rekod sebelumnya, 9.548 saat yang dicipta beliau semasa di Kejohanan Dunia 2020 di Jerman.

Anak jati Dungun, Terengganu itu kelihatan beremosi sebaik meraikan kejayaannya dengan jurulatih trek negara, John Beasley.