Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pelumba trek veteran negara, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai jaguh keirin tidak boleh dicabar. Ini selepas pelumba berusia 35 tahun itu meraih pingat emas ke-12 peribadinya dalam acara keirin lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 hari ini.
Selepas meraih pingat emas ke-11 dalam acara pecut lelaki, Azizulhasni sudah mensasarkan pingat emas ke-12 peribadinya dalam acara keirin lelaki. Dan itu direalisasikannya dalam aksi final dengan pelumba trek Jepun, Shinji Nakano meraih pingat perak.
Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom menceriakan kem basikal trek negara dengan meraih pingat gangsa acara sama.
Tetapi perjalanan Shah Firdaus ke final penuh drama apabila terjatuh dalam saingan separuh akhir keirin. Bagaimanapun, dia berjaya bangkit dan mendapatkan slot terakhir layak ke saingan final.
Disebabkan kehadirannya di saingan final, ini membantu kem negara memecah formasi tiga pelumba Jepun diketuai Nakano yang dianggap ancaman kepada Azizulhasni.
Kemenangan ini juga dianggap istimewa kerana hadiah terbaik pada Hari Bapa buat dirinya. Malah, selepas menamatkan perlumbaan, Azizulhasni mencari isteri dan anak-anak bagi meraikan kejayaan tersebut.
Ini merupakan kali terakhir Azizulhasni menyertai ACC 2023. Ini selepas beliau mengumumkan mahu bersara selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.