Abu Samah Tempuhi Ranjau Berliku Sebelum Bergelar Juara

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pemain tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan terpaksa melalui pelbagai ujian dan rintangan sebelum merangkul gelaran pada Kejohanan Phuket Thailand 2021, Isnin lepas.

Ini disebabkan, tragedi banjir yang melanda ahli keluarga beliau sudah pastinya memberi kesan yang amat mendalam buat pemain ini untuk menampilkan aksi yang terbaik dalam kejohanan tersebut.

Sungguhpun begitu, pemain berusia 36 tahun itu menjelaskan bahawa kejayaan datang daripada usaha dan juga berkat sokongan keluarga yang tidak putus-putus daripada seluruh ahli keluarganya.

Malah, ianya menjadi motivasi terbaik untuk tampil cemerlang pada kejohanan empat hari bermula 18 Dis itu biarpun diuji dengan dugaan melanda keluarganya di Kuala Selangor.

‘Saya dapat tahu (banjir) itu pun semasa di Phuket. Sebelum ini saya sudah maklumkan jika perlawanan berlangsung saya tidak dapat berhubung selalu seperti di Malaysia. Jadi mereka faham dan beri ruang untuk saya fokus pada kejohanan.’

Beliau sebelum ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam, meluahkan hasrat ingin bertemu dan membantu keluarganya yang terkesan akibat banjir susulan kawasan rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung kereta, selepas ini. 

Aksi final acara perseorangan yang berlangsung sengit itu menyaksikan kehebatan Abu Samah terserlah setelah berjaya mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Mohamad Yusshazwan Yusuf dengan keputusan 6-4, 7-6.

Kedua-dua pemain itu kemudian menampilkan aksi membanggakan apabila meraih tempat kedua bagi kategori beregu lelaki selepas tewas di tangan Worakit Daengchuen dan Banjob Suwan dari Thailand 1-6, 6-4, 11-13 pada perlawanan akhir. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *