Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggondol pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun lepas, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky melihat usaha merangkul pingat emas menerusi acara tersebut bukan sesuatu yang mustahil. Atas sebab itu, beliau menggesa Aaron-Wooi Yik agar mensasarkan pingat perak atau emas di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Keseriusan ini dapat dilihat menerusi tindakan BAM menggugurkan lima pemain beregu lelaki. Mereka merupakan sebahagian daripada 12 pemain yang digugurkan semalam seperti diumumkan oleh Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones semalam.
Mereka ialah Chang Yie Jun, Lwi Sheng Hao, Faris Amrin, Fawwaz Zainuddin dan Zulhairi Sahimi dengan Low Hang Yee pula keluar kerana memburu karier sebagai pemain profesional. Ketika ini, Rexy menguruskan 19 pemain beregu lelaki, 11 pemain beregu wanita dan lapan pemain beregu campuran.
Justeru, legenda badminton Indonesia itu melihat layak ke Sukan Olimpik tidak lagi patut dijadikan sebagai penanda aras pencapaian pemain badminton di temasya berkenaan. Dengan temasya 2024 Paris menjadi tumpuan, sandaran pingat acara badminton kini digalas oleh Aaron-Wooi Yik dan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
“BAM dan rakyat Malaysia mahu melihat Malaysia menang pingat emas di Sukan Olimpik dan dalam acara regu, layak saja sudah tidak cukup sebagai penanda aras. Aaron-Wooi Yik sudah membuktikan keupayaan mereka di Kejohanan Dunia. Pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo, mereka telah menang pingat gangsa dan sasaran mereka seterusnya ialah sama ada pingat emas atau perak dalam temasya Olimpik seterusnya.
“Ini bukan sekadar pasukan kejurulatihan dan pihak pengurusan bercita-cita besar tetapi mereka (Aaron-Wooi Yik) juga harus mempunyai keyakinan yang sama. Jika mereka mahu memenangi pingat emas, mereka juga harus mempunyai matlamat menjadi regu nombor satu dunia dan prestasi mereka pada tahun depan akan menjadi sangat penting. Pearly-Thinaah juga harus mempunyai keyakinan yang sama,” katanya.
Selain Aaron-Wooi Yik, Rexy turut berharap pasangan beregu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dapat merebut slot kelayakan Olimpik dengan regu bebas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin menduduki rangking ke-10 dunia dengan Yew Sin-Ee Yi pula menduduki rangking kelapan dunia. Sementara regu lelaki ke-23 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun lebih berpeluang layak ke Sukan Olimpik 2028.
Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin bergelut dengan prestasi tidak menentu atas gelanggang. Tetapi Rexy percaya kedua-duanya boleh bangkit semula dan tiada minat untuk memecahkan mereka lebih-lebih lagi dengan pusingan kelayakan Olimpik bakal bermula pada Mei tahun hadapan.