18 Pemain Sah Bawa Cabaran Malaysia Ke Piala Dunia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hari ini, senarai pemain yang bakal menggalas cabaran skuad hoki Malaysia ke Piala Dunia Hoki 2023 diumumkan kepada media hari ini. Antara nama yang kembali membarisi Speedy Tigers ialah kapten pasukan, Marhan Mohd Jalil.

Marhan yang merekodkan 278 penampilan bersama Speedy Tigers sebelum ini tidak dapat menyertai skuad negara menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara akibat kecederaan patah jari kaki kanan. Ia dialami semasa perlawanan persahabatan menentang Perancis pada Oktober lepas.

Justeru, melihat kelibat Marhan yang kembali cergas dianggap tonik terbaik kepada Speedy Tigers. Atas sebab itu, menurut pengurus skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, seluruh ahli pasukan mahu Marhan kembali sebagai kapten skuad kebangsaan. Selain Marhan, Muhammad Shahril Saabah turut dipanggil semula menyertai Speedy Tigers.

“Kita sebulat suara melantik Marhan sebagai ketua pasukan dan seperti sedia maklum sebelum ini Marhan tidak dapat bersama pasukan di Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan kerana kecederaan dan tugas (kapten) itu digalas dengan begitu baik oleh Najmi Farizal (Jazlan).

“Shahril juga sudah pulih daripada kecederaan otot betis untuk memperkuatkan jentera serangan dalam misi kita mara ke pusingan kalah mati,” katanya dalam sidang media mengumumkan senarai pemain ke Piala Dunia hari ini.

Selain duo tersebut, Shello Silverius juga tersenarai dalam skuad 18 pemain itu. Seperti Marhan dan Sharil, Shello juga sebelum ini terpaksa digugurkan daripada skuad negara selepas mengalami kecederaan pada tangan kiri.

“Shello pula, pihak pengurusan sudah membuat penilaian terlebih dulu sebelum menyenaraikannya dalam pasukan. Dia mengalami kecederaan patah tangan ketika beraksi di Afrika Selatan dan sudah selamat menjalani pembedahan 7 Disember lalu, jadi atas saranan doktor perubatan dia memerlukan tiga minggu untuk pulih sepenuhnya.

“Jadi berdasarkan tempoh itu dan hasil perbincangan kami sendiri dengan pihak perubatan dan Shello sendiri, kami ambil keputusan untuk kekalkannya dalam pasukan memandangkan dia adalah aset buat jentera serangan kami,” tambah Mirnawan lagi.

Skuad 18 pemain yang bakal bertolak ke India pada 6 Januari ini menyaksikan Muhammad Hafizuddin Othman dan Adrian Andy Albert berperanan sebagai penjaga gol.

Manakala bahagian pertahanan Speedy Tigers pula dikemudi oleh Marhan, Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Zulpidaus Mizun, Muhammad Aminuddin Mohd Zain dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Di bahagian tengah terdiri daripada Meor Muhammad Azuan Hassan, Faiz Helmi Jali, Muhammad Firhan Ashaari, Mohamad Ashran Hamsani dan Muhammad Najib Abu Hassan.

Sementara di bahagian serangan, ia akan diketuai oleh Faizal Saari, Shello, Shahril, Norsyafiq Sumantri dan Muhamad Ramadan Rosli. Dua pemain muda iaitu Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim, 21 dan Shahmie Irfan Suhaimi, 20 berada dalam senarai pemain simpanan.

Skuad negara berada dalam Kumpulan C yang dibarisi Chile, New Zealand dan Belanda. Mereka dijadual berlepas ke Bhubaneswar, India pada 6 Januari ini. Speedy Tigers juga dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan Sepanyol pada 11 Januari.